Bahagian Mukah telah diisytiharkan sebagai Bahagian Ke Sepuluh di Sarawak pada 1 Mac 2002 oleh Yang Amat Berhormat Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud, Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Sarawak. Setelah persempadanan semula, keluasan Pentadbiran Bahagian Mukah seluas 6,997.61 kilometer persegi terdiri daripada empat buah Daerah Mukah, Dalat, Matu dan Daro serta empat buah Daerah Kecil iaitu Balingian, Oya, Igan dan Belawai. Daerah Mukah merupakan pusat pentadbiran di peringkat Bahagian.

Pengiktirafan Bahagian Mukah sebagai Bahagian telah membuka lembaran baru dalam jentera pentadbiran Negeri Sarawak apabila merangkumi seluruh kawasan pesisir pantai di bahagian tengah negeri Sarawak yang menghadap Laut Cina Selatan iaitu menganjur dari Balingian di sebelah Timur sehingga Belawai di sebelah Barat dengan pantai sepanjang 200 km dan mempunyai kawasan bertanah gambut yang rata.

Pengiktirafan Mukah sebagai Bahagian telah membuka lembaran baru dalam jentera pentadbiran Negeri Sarawak. Dengan mewujudkan satu kawasan yang lebih kecil adalah diharapkan proses pembangunan di kawasan Mukah akan bertambah pesat dan berterusan.