Titik permulaan kewujudan Kampung Igan ialah di Sungai Tengah Kecil Igan iaitu Kampung Tengah Igan yang juga terletak di muara sungai Batang Igan. Mereka merupakan penduduk yang berasal dari Kampung Mudan dan Sungai Ilas. Kebanyakan penduduk pada masa itu tidak beragama (Pagan) kecuali beberapa orang penduduk yang berasal dari Mudan. Kehadiran mereka terbukti daripada beberapa penemuan barang-barang purba dan kawasan tanah perkuburan.

Pada awal penerokaan, hanya terdapat 15 buah rumah didirikan ditebing Batang Igan. Rumah mereka diperbuat daripada daun nipah. Kehidupan mereka bergantung sepenuhnya pada hasil pertanian dan tangkapan laut. Kehadiran Syed Mashur Abu Bakar Sakran dan beberapa orang pengikut telah mengubah kehidupan dan kepercayaan masyarakat kampung. Mereka mula menjadikan Islam sebagai panduan hidup.

Pertambahan penduduk yang semakin ramai telah menyebabkan penempatan baru diwujudkan iaitu di Kampung Pulau dan Kampung Baru Ismail. Kesan daripada perkembangan penduduk, hasil nelayan dan petani serta pedagang tempatan mula meluas ke Igan. Faktor ini mewujudkan sebuah lagi kampung iaitu Kampung Baru Dagang Igan.

Sehingga kini, Kampung Igan merangkumi lima buah rangkaian kampung terdekat yang terdiri daripada Kampung Sekerang, Kampung Tengah, Kampung Pulau, Kampung Baru Ismail dan Kampung Baru Dagang Igan.

Sumber : Profil Kampung Tengah Igan

SEJARAH KAMPUNG SEKERANG IGAN

Kewujudan Kampung Igan bermula dari wujudnya sebuah kampung iaitu Kampung Sekerang Igan. Asal usul yang bermula dengan pelayaran rombongan yang diketuai oleh Sharif Sekerang. Mereka belayar menggunakan rakit bermula dari Engkilo (Seberang Sibu) dengan tujuana mencari tempat dan membuka perkampungan baru. Rakit mereka belayar mengikut arus sungai sehingga terdampar ke suatu tempat. Mereka singgah dan terus mengambil kayu dan sebagainya untuk mendirikan pondok sebagai tempat berteduh. Perbincangan pun dibuat supaya menamakan kampung tersebut dengan nama Kampung Sekerang sempena nama ketua rombongan mereka, Sharif Sekerang.

Pada masa tersebut, hanya terdapat dua atau tiga buah keluarga sahaja yang tinggal di kampung ini. Tambahan pula semua penduduk masih belum mempunyai agama. Bertitik tolak daripada itu, rombongan tersebut telah menyebarkan ajaran Agama Islam kepada keluarga yang ada di kawasan tersebut. Bahasa pengantar yang digunakan oleh rombongan tersebut ialah Bahasa Melayu Sarawak dan ianya masih kekal menjadi bahasa perhubungan penduduk di Kampung Sekerang sehingga ke hari ini. Pekerjaan penduduk di Kampung Sekerang ialah menangkap ikan secara tradisional dan bertani.

 

 Sumber : Blog JKKK Kampung Sekerang Igan