Titik permulaan kewujudan Kampung Igan ialah di Sungai Tengah Kecil Igan iaitu Kampung Tengah Igan yang juga terletak di muara sungai Batang Igan. Mereka merupakan penduduk yang berasal dari Kampung Mudan dan Sungai Ilas. Kebanyakan penduduk pada masa itu tidak beragama (Pagan) kecuali beberapa orang penduduk yang berasal dari Mudan. Kehadiran mereka terbukti daripada beberapa penemuan barang-barang purba dan kawasan tanah perkuburan.

Pada awal penerokaan, hanya terdapat 15 buah rumah didirikan ditebing Batang Igan. Rumah mereka diperbuat daripada daun nipah. Kehidupan mereka bergantung sepenuhnya pada hasil pertanian dan tangkapan laut. Kehadiran Syed Mashur Abu Bakar Sakran dan beberapa orang pengikut telah mengubah kehidupan dan kepercayaan masyarakat kampung. Mereka mula menjadikan Islam sebagai panduan hidup.

Pertambahan penduduk yang semakin ramai telah menyebabkan penempatan baru diwujudkan iaitu di Kampung Pulau dan Kampung Baru Ismail. Kesan daripada perkembangan penduduk, hasil nelayan dan petani serta pedagang tempatan mula meluas ke Igan. Faktor ini mewujudkan sebuah lagi kampung iaitu Kampung Baru Dagang Igan.

Sehingga kini, Kampung Igan merangkumi lima buah rangkaian kampung terdekat yang terdiri daripada Kampung Sekerang, Kampung Tengah, Kampung Pulau, Kampung Baru Ismail dan Kampung Baru Dagang Igan.

Sumber : Profil Kampung Tengah Igan